DUNGUN - Lazimnya mangsa yang ditempatkan di pusat perpindahan banjir 'berteduh sementara' di kawasan yang terbuka dan berselerak dengan disediakan tikar dan selimut selain makan minum oleh pihak berwajib.
 
Namun begitu, apabila terlampau ramai mangsa banjir ditempatkan di sesebuah pusat perpindahan, ini pastinya mendatangkan rasa kurang selesa, terutamanya kepada kaum wanita untuk tidur dan menukar pakaian.
 
Tinjauan Bernama mendapati lain pula keadaannya di pusat penempatan banjir di Dewan Majlis Sukan Negeri (MSN) Dungun di Balai Besar apabila kebanyakan mangsa banjir dari Kawasan Perumahan Taman Rakyat Jaya mempunyai alternatif sendiri dengan memasang khemah di dalam dewan pusat perpindahan itu.
 
Seorang daripada mangsa banjir yang ditemui, Norida Barudin, 41, berkata, penggunaan khemah turut memberi keselesaan kepada mereka dan anak-anak serta kelihatan lebih tersusun, sekali imbas bagaikan perkhemahan keluarga.
 
"Kalau nak tukar pakaian lebih senang sikit daripada asyik pergi ke bilik mandi, lepas tu kalau anak nak tidur pun senang dan kita pun tidak menyusahkan orang.

 "Lagipun kalau orang luar tengok lebih tersusun sedikitlah. Kita dah biasa banjir di kawasan ini maka kami rasakan ini adalah cara yang terbaik daripada kita duduk dan tidur berselerak," katanya.
 
Norida, bertugas sebagai Penolong Pegawai Institut Sukan Negara (ISN) cawangan Terengganu berkata, rata-rata keluarga di pusat perpindahan itu pastinya ada sekurang-kurangnya satu khemah kerana kawasan perumahan mereka sering dilanda banjir terutama semasa musim tengkujuh.
 
Sementara itu Mohd Nasir Othman, 51, berkata, dia membeli sendiri khemah yang mampu memuatkan empat orang pada 2010 yang hanya berharga RM80 sebuah dan ia sangat berguna kepada keluarganya terutama dalam menghadapi situasi sedemikian.
 
"Saya hanya tidur di luar sahaja dengan hamparkan karpet. Biarlah isteri dan dua anak perempuan saya tidur di dalam.
 
"Bila sebut pasal banjir je, apa yang terlintas di kepala kami kalau nak ke pusat perpindahan ialah yang pastinya tidak dilupakan ialah khemah, karpet, kipas dan sambungan plug," katanya.
 
Sementara itu Pengerusi Taman Rakyat Jaya, Mustaffa Fakir Mohamad berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu turut menyediakan 15 buah khemah untuk kemudahan mangsa dan merupakan perintis kepada penggunaan khemah kepada mangsa banjir di kawasan itu sejak 2008.
 
"Kita dah perkenalkan pakai khemah sejak tahun 2008 lagi. Saya rasa di negara ini hanya kita sahaja yang mempraktikkan sebegini dan untuk kesinambungannya wanita diberi hak yang istimewa sedikitlah terutamanya bagi ibu yang mahu menyusu badan anaknya.
 
"Takkan bila ibu nak menyusu badan kena asyik pergi ke bilik air? Jadi kalau tiada khemah pasti agak kurang selesa buat mereka kan," katanya.
 
Beliau berkata apabila kaedah penggunaan khemah buat mangsa banjir mendapat maklum balas positif, penduduk sekitar kemudiannya membeli sendiri menjelangnya musim banjir pada tahun berikutnya.
 
Tinjauan turut mendapati lebih 50 khemah dipasang di pusat perpindahan yang baru dibuka sejak malam tadi.
 
Khemah berkenaan diguna oleh golongan wanita manakala kaum lelaki pula tidur di luar khemah.
 
Sejak banjir melanda negara seminggu lalu, laman sosial Facebook dan laman sosial lain memuatkan foto yang memaparkan perbezaan mangsa bencana di Jepun dan Malaysia.
 
Langkah menggunakan khemah ini diharap akan menjadi trend terbaru mangsa banjir di negara ini agar penempatan banjir lebih mematuhi syariah dan lebih teratur. - Bernama

sinar harian