Beberapa kawasan termasuk Kampung Bukit Mentok dan Pengkalan Pandan mendapati penduduk kawasan itu telah meninggalkan kediaman masing-masing kerana kebanyakan rumah mereka ditenggelami air hingga ke paras bumbung.
Seorang penduduk Bandar Baru Bukit Mentok, Norita Abdul, 38, menyifatkan banjir tahun ini lebih ganas berbanding sebelumnya hingga sebahagian kawasan didiaminya tenggelam dek banjir besar.
"Keluarga saya hanya sempat mengalihkan sebahagian barangan rumah ke tempat tinggi berikutan air yang naik ke dalam rumahnya dengan mendadak kali ini.
"Tahun lepas, air naik ke rumah tidaklah secepat ini tetapi kali ini sangat berbeza sehingga rumah saya boleh tenggelam hanya nampak bumbung," kata ibu lima anak ketika ditemui Bernama di Pusat Pemindahan mangsa banjir di Dewan Seri Amar di sini hari ini.
Jaafar Omar, 57, dari Kampung Pengkalan Pandan pula berkata kalau semasa banjir sebelum ini air masuk rumahnya paling tinggi pun hanya separas pinggang namun bencana kali ini lebih buruk.
"Tahun lepas air bah naik hanya paras pinggang. Maka saya pun letaklah barang-barang tinggi sedikit dari paras pinggang.
"Namun keesokan bila saya hendak balik ke rumah, Masya-Allah... tengok-tengok tinggal bumbung rumah je, semua tenggelam," katanya yang belum dapat menganggarkan jumlah kerugian dialaminya.
Sementara itu kesesakan teruk berlaku di Chukai setelah beberapa jalan utama di pusat bandar itu dinaiki air sedalam 0.5 hingga 1.5 meter di beberapa tempat.
Lebih memburukkan keadaan apabila kebanyakan pusat perpindahan mangsa banjir terpaksa bergelap akibat tiada bekalan elektrik sejak pukul 10 malam semalam berikutan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memutuskan bekalan eletrik di beberapa kawasan banjir bagi mengelakkan kejadian litar pintas.
sumber:sinar harian
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment