Baitul Ateeq |
Sejak zaman berzaman, ahli sarjana masyarakat barat begitu mengagung-agungkan
hasil-hasil binaan yang disifatkan sebagai lambang ketamadunan yang maju dan
menyenaraikannya sebagai salah satu keajaiban dunia.
Sejak dari
kecil, kita dimomokkan bahawa Tembok Besar di China, Taman Tergantung Babylon
di sempadan Iraq, Piramid Giza di Mesir, Taj Mahal di India, Candi Borobodur di
Pulau Jawa, Angkor Watt di Kemboja dan Menara Condong Pisa di Itali sebagai
tujuh benda ajaib di dunia.
Namun,
tidakkah terlintas di fikiran kita bahawa rumah Allah, Kaabah, merupakan satu
keajaiban dunia yang tiada tolok bandingnya dan tidak pun disenaraikan oleh
sarjana-sarjana itu berbanding keajaiban-keajaiban lain.
Menurut
golongan ulama dan pakar sejarah Islam, Kaabah yang terletak di dalam kawasan
Masjidil Haram di Mekah pertama kali dibina di atas dunia oleh manusia pertama
yang diturunkan Allah di muka bumi ini iaitu Nabi Adam AS.
Perkara
tersebut dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran Al-Karim dan diriwayatkan
oleh Ibnu Abbas RA bahawa Nabi Adam mengerjakan tawaf di keliling Kaabah
sebanyak 40 kali.
Selain
itu, Kaabah yang juga digelar sebagai Baitullah atau Baitul Ateeq itu dikatakan
telah dibina semula sebanyak 11 kali lagi dan di antara yang membinanya ialah
Nabi Syith AS, Nabi Ibrahim AS, kaum Amaliqah, kaum Jurhum, Qusai Ibnu Qilab,
dan datuk kepada Rasulullah SAW, Abdul Muttalib Ibnu Hasyim.
Kaabah
yang dilanda banjir besar pada tahun 605 Masihi telah dibina oleh empat ketua
suku kaum Quraisy bersama Muhammad SAW Al-Amin yang meletakkan posisi batu
Hajarul Aswad ketika Baginda berumur 35 tahun, lima tahun sebelum diangkat
menjadi Rasul.
Seterusnya,
rumah Allah itu juga pernah dibina oleh seorang sahabat, Abdullah Ibnu Zubair
RA pada tahun 64 Hijrah, Hajjaj Ibnu Yusuf At-Thaqafi pada tahun 74 Hijrah dan
Sultan Murad Khan pada tahun 1040 Hijrah.
Menurut
reka bentuk Kaabah ketika di bina oleh Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail
AS, rumah Allah itu berukuran 48 kaki 6 inci bagi Dinding Timur, Dinding Barat
46.5 kaki, Dinding Hatim 33 kaki, manakala dinding antara Hajarul Aswad dan
sudut Yamani adalah 30 kaki.
Binaan
suci ini yang berbentuk kubus berukuran 12 x 10 x 15 meter itu, mencetus
keajaiban teragung apabila jutaan umat Islam di dunia sujud kepadaNya setiap
saat dan masa sejak di zaman Rasulullah SAW lagi.
Antara
keajaiban Kaabah yang tiada pada benda keajaiban dunia lain ialah sebiji batu
besar yang asalnya berwarna putih dan dinamakan sebagai Hajar Al-Aswad yang
bermakna ‘batu yang berwarna hitam’ setelah batu yang dikatakan dibawa dari
syurga itu bertukar ke warna hitam kemudiannya.
Selain
itu, Kaabah turut dibina dengan ‘pakej ajaib’ dengan melengkapkan binaan itu
dengan sebuah telaga Zam-Zam yang bermaksud ‘berkumpullah..berkumpullah’, yang
tidak pernah kering-kering sejak dibina sejak di zaman Nabi Ibrahim dan Nabi
Ismail lagi.
Memakmurkan
rumah Allah, puluhan juta umat Islam akan berkumpul mengelilingi Kaabah bagi
menunaikan rukun Islam kelima, menunaikan haji, di mana hanya mereka-mereka
yang terpilih sahaja yang akan mendapat ‘surat jemputan’ dari Allah SWT sebagai
‘tetamu’Nya setiap tahun.
Subhanallah!
Beruntunglah kepada sesiapa yang pernah mendapat ‘surat jemputan’ itu untuk
menjadi tetamu Allah di rumahNya memandangkan ramai yang kaya raya dan
berkemampuan pun tidak pun bernasib baik menerima ‘surat’ itu.
Semoga
kita semua, umat Islam, diberikan kemudahan dan lorongan dari Allah untuk
menjadi tetamuNya sebelum uzur dan ajal menjemput kita menemuinya.
Wallahua’lam.
Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment