Taktik itu terdedah berikutan tindakan polis menahan seorang lelaki warga Bolivia kerana disyaki cuba menyeludup dadah dengan menelan 36 ketul kondom mengandungi kokain cair, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dalam pemeriksaan pada 9.30 pagi itu, polis menahan lelaki berkenaan yang berada dalam keadaan mencurigakan.
“Lelaki itu baru saja tiba di KLIA dari Sao Paulo melalui Dubai. Polis segera membawanya ke Hospital Serdang untuk mengeluarkan dadah yang seberat 1.5kg,” katanya kepada pemberita, semalam.
Menurut maklumat siasatan, Noor Rashid berkata kemampuan keldai dadah akan diuji terlebih dulu dengan diberikan keratan lobak merah sebesar saiz kondom untuk ditelan.
“Sindiket dadah juga telah menjalankan ujian supaya bahan buatan kondom tidak larut oleh asid perut dan mampu bertahan lama semasa dadah itu dibawa di dalam badan,” katanya.
Lelaki itu antara beberapa individu warga asing yang ditahan dalam tempoh seminggu kerana kesalahan dadah, dengan nilai rampasan RM2.7 juta.
Selain warga Bolivia itu, turut ditahan dalam operasi di ibu negara dan Pahang ialah dua wanita Vietnam, seorang wanita Kemboja dan dua lelaki Nigeria, kesemuanya berumur antara 25 dan 41 tahun. - Bernama
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment