Ahli Kumpulan Tuhan Harun l Kes bunuh Ahmad Raffli selesai


DI dalam kereta inilah ditemui pistol semi-auto dan peluru yang digunakan untuk menembak mangsa semasa kenderaan itu dirampas di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, semalam


KUALA LUMPUR 29 Nov. - Selepas 19 hari kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik pada 10 November lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akhirnya berjaya menyelesaikan kes itu selepas menahan 13 ahli kumpulan Tuhan Harun termasuk dua wanita, hari ini.

Kejayaan itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui Twitter beliau pada pukul 7.30 malam ini.
Katanya, susulan penahanan itu, pihaknya turut merampas sepucuk pistol daripada kumpulan terbabit.

Beliau ketika dihubungi malam ini bagaimanapun enggan menyatakan sama ada senjata itu digunakan dalam kejadian tersebut.
"Tahniah Tim Cantas Khas Bukit Aman berjaya merungkai kes bunuh Penguat Kuasa JAIP. Tangkap 13 orang dan pistol dirampas.
"Kejayaan membanggakan oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc), PDRM. Tahniah sekali lagi. Antara 13 tangkapan, dua wanita ahli kumpulan Tuhan Harun Durjana," ujarnya seperti di dalam laman sosial berkenaan.

Sementara itu menurut sumber, pistol yang dirampas diperoleh daripada seorang suspek, Mohd. Rizairi Khamis @ Harry, 27, yang ditangkap di Taman Setiawangsa di sini pada pukul 6 petang.
Suspek dipercayai menjadi pembekal senjata itu, sementara seorang lagi yang merupakan bekas polis dipercayai adalah penembak dalam kes tersebut.

Bekas polis yang berasal dari Sabah berusia 39 tahun itu ditahan di Klang.
Pistol semi-auto berkenaan ditemui di dalam sebuah kereta jenis Honda Jazz berserta sejumlah peluru.
Pada 20 November lalu, polis memberkas ketua Tuhan Harun iaitu Harun Mat Saat dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Bandar Baru Tangkak, Johor.

Turut diberkas dalam serbuan itu ialah seorang pengikut Tuhan Harun iaitu Nor Hairi Harun, 41, dan isteri ketiga Harun iaitu Azida Mohd. Zol, 30.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, Ahmad Raffli maut ditembak seorang daripada tiga lelaki berjubah hitam dan berkopiah di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, Kuantan.

Mangsa mati selepas terkena tiga das tembakan yang dilepaskan oleh suspek dari jarak dekat

sumber: utusan
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

Koleksi Banjir Di Kemaman Dan Kuantan 2013

 
© Gi Mari Gi Mari All Rights Reserved