• Lizah dan Muhamad Usman dihadapkan ke mahkamah majistret semalam.
AYER KEROH - Seorang guru penolong kanan dan kekasihnya yang merupakan warga Pakistan dihadapkan ke mahkamah majistret di sini, semalam atas pertuduhan merakam video lucah di dalam sebuah rumah, November lalu.

Tertuduh, Lizah Buang, 49 dan Muhamad Usman Ali Liqat, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan yang didakwa ke atas mereka di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh.

Berdasarkan pertuduhan, Lizah dan Muhamad Usman didakwa bersama-sama merakam video lucah atau yang bertentangan dengan kesopanan awam.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Pangsapuri Bukit Beruang Utama kira-kira jam 8.30 pagi pada 16 November 2013.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Penapisan Filem 2002 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara maksima lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tarikh sebutan kes bagi lantikan peguam ditetapkan pada 23 Januari 2014.

sumber:sinar harian